Bulan
Muharam merupakan bulan keberkahan dan rahmat karena bermula dari bulan inilah
berlakunya segala kejadian alam ini. Bulan Muharam juga merupakan bulan yang
penuh sejarah, di mana banyak peristiwa yang berlaku sebagai menunjukkan
kekuasaan dan kasih sayang Allah kepada makhluk-nya. Pada bulan ini juga, Allah
mengurniakan mujizat kepada Nabi-Nabi-nya sebagai penghormatan kepada mereka
dan juga limpah kurnianya yang terbesar iaitu ampunan dan keredhaan bagi
hambanya. Sebagai tanda kesyukuran kepadanya, maka hamba-hambanya
mempersembahkan ibadah mereka (antara mereka dengan Allah) sebagai hadiah
kepada Allah, namun dengan itu, masih belum dapat lagi membalas kurniaan Allah
yang sungguh bernilai.
Said bin Jubair dari Ibnu Abbas r.a berkata: Ketika Nabi saw
baru berhijrah ke Madinah, maka mereka dapati kaum Yahudi berpuasa pada hari
Asyura (10 Muharam). Maka mereka pun bertanya kepada kaum Yahudi tentang puasa
mereka itu. Mereka menjawab, "Hari ini Allah SWT memenangkan Musa dan Bani
Israel terhadap Firaun dan kaumnya, maka kami berpuasa sebagai mengagungkan
hari ini. Maka sabda Nabi saw: "Kami lebih layak mengikuti jejak langkah
Musa dari kamu." Maka Nabi saw pun menyuruh para sahabat agar berpuasa.
Antara lain kelebihan 10 Muharam ialah barangsiapa yang melapangkan rezeki pada
keluarganya, maka Allah akan meluaskan rezekinya sepanjang tahun ini. Terdapat
juga sebuah hadis meriwayatkan, "Barangsiapa yang berpuasa pada hari
Asyura, maka dapat menebus dosa satu tahun." Maksud hadis ini ialah hari
yang kesepuluh Muharam (Asyura) merupakan hari dan bulan kemuliaan karena pada
sesiapa yang berpuasa pada hari inilah, Allah membersihkan dan menebus
dosa-dosa mereka yang lampau.
Bulan Muharam merupakan satu-satunya bulan yang teristimewa karena banyak
peristiwa yang bersejarah berlaku pada bulan ini disamping ganjaran pahala yang
besar kepada sesiapa yang beribadah pada bulan ini sepertimana terdapat dalam
satu hadist. "Sesiapa yang berpuasa pada hari Asyura (10 Muharam), maka
Allah akan memberi kepadanya pahala sepuluh ribu malaikat dan juga akan diberi
pahala sepuluh ribu orang berhaji dan berumrah dan sepuluh ribu orang mati
syahid. Dan sesiapa yang mengusap kepala anak yatim pada hari Asyura, maka
Allah akan menaikkan dengan tiap anak rambut satu darjat. Sesiapa yang memberi
buka puasa pada semua umat Muhammad saw dan mengenyangkan perut mereka."
Sahabat pun bertanya, "Ya Rasulullah, Allah telah melebihkan hari Asyura,
dan menjadikan bukit dari lain-lain hari." Jawab Rasulullah, "benar,
Allah telah menjadikan langit dan bumi pada hari Asyura, dan menjadikan
bukit-bukit pada hari Asyura dan menjadikan laut pada hari Asyura dan
menjadikan Loh Mahfuz dan Qalam pada hari Asyura dan juga menjadikan Adam dan
Hawa pada hari Asyura, dan menjadikan syurga dan neraka serta memasukkan Adam
ke syurga pada hari Asyura, dan Allah menyelamatkannya dari api pada hari
Asyura dan menyembuhkan dari bala pada Nabi Ayub.
Pada hari Asyura juga Allah memberi taubat kepada Adam dan diampunkan dosa Nabi
Daud, juga kembalinya kerajaan Nabi Sulaiman pada hari Asyura dan kiamat akan
terjadi pada hari Asyura." Maka pada hari itu ( 10 Muharam) Nabi Adam dan
Nabi Nuh a.s berpuasa karena bersyukur kepada Allah karena hari itu merupakan
hari taubat mereka diterima oleh Allah setelah beratus-ratus tahun lamanya
memohom keampunan. Pada hari itu juga, hari pembebasan bagi orang-orang Islam
yang telah sekian lama dikongkong oleh Firaun, di mana hari itu mereka
diselamatkan dari kejahatan dan kezaliman Firaun yang selama ini mengancam
agama dan menggugat iman mereka. Dengan tenggelamnya Firaun, Haman, Qarun dan
istana mereka bererti berakhirlah sudah kezaliman musuh-musuh Allah buat masa
itu. Terselamatlah tentera Nabi Musa dari musuh dengan mukjizat yang Allah
berikan, maka mereka berpuasa karena kesyukuran yang tidak terhingga kepada
Allah swt.
Pada 10 Muharam, tarikh berlabuhnya perahu Nabi Nuh a.s karena banjir yang
melanda seluruh alam di mana hanya ada 40 keluarga termasuk manusia binatang sahaja
yang terselamat dari banjir tersebut. Kita merupakan cucu-cicit antara 40
keluarga tadi. Ini merupakan penghormatan kepada Nabi Nuh a.s karena 40
keluarga ini sahaja yang terselamat dan dipilih oleh Allah. Selain dari itu,
mereka adalah orang-orang yang INGKAR pada Nabi Nuh a.s.
Nabi Ibrahim dilahirkan pada 10 Muharam dan diangkat sebagai Khalilullah
(kekasih Allah) dan juga hari di mana baginda diselamatkan dari api yang
dinyalakan oleh Namrud. Nabi Ibrahim diberi penghormatan dengan Allah
memerintahkan kepada api supaya menjadi sejuk dan tidak membakar Nabi Ibrahim.
Maka terselamatlah Nabi Ibrahim dari angkara kekejaman Namrud. Pada 10 Muharam
ini juga Allah menerima taubat Nabi Daud karena Nabi Daud merampas isteri orang
walaupun bagainda sendiri sudah ada 99 orang isteri, masih lagi ingin isteri
orang. Oleh karena Nabi Daud telah membuatkan si suami rasa kecil hati, maka
Allah turunkan dua malaikat menyamar sebagai manusia untuk menegur dan
menyindir atas perbuatan Nabi Daud itu. Dengan itu sedarlah Nabi Daud atas
perbuatannya dan memohon ampun pada Allah. Sebagai penghormatan kepada Nabi
Daud a.s maka Allah mengampunkan baginda pada 10 Muharam. Pada 10 Muharam ini
juga, Allah mengangkat Nabi Isa ke langit, di mana Allah telah menukarkan Nabi
Isa dengan Yahuza. Ini merupakan satu penghormatan kepada Nabi Isa daripada
kekejaman kaum Bani Israil.
Allah juga telah menyelamatkan Nabi Musa pada 10 Muharam daripada kekejaman
Firaun dengan mengurniakan mukjizat iaitu tongkat yang dapat menjadi ular besar
yang memakan semua ular-ular ahli sihir dan menjadikan laut terbelah untuk
dilalui oleh tentera Nabi Musa dan terkambus semula apabila dilalui oleh Firaun
dan tenteranya. Maka tenggelamlah mereka di Laut Merah. Mukjizat yang
dikurniakan Allah kepada Nabi Musa ini merupakan satu penghormatan kepada Nabi
Musa a.s. Allah juga telah menenggelamkan Firaun, Haman dan Qarun serta kesemua
harta-harta Qarun dalam bumi karena kezaliman mereka. 10 Muharam, merupakan
berakhirnya kekejaman Firaun buat masa itu. Allah juga telah mengeluarkan Nabi
Yunus dari perut ikan setelah berada selama 40 hari di dalamnya. Allah telah
memberikan hukuman secara tidak langsung kepada Nabi Yunus dengan cara ikan Nun
menelannya. Dan pada 10 Muharam ini, Allah mengurniakan penghormatan kepada
baginda dengan mengampun dan mengeluarkannya dari perut ikan Nun.
Allah juga telah mengembalikan kerajaan Nabi Sulaiman a.s pada
10 Muharam sebagai penghormatan kepada baginda. Dengan itu, mereka berpuasa dan
beribadah kepada Allah sebagai tanda kesyukuran kepada Allah swt. Nabi saw
telah bersabda dengan maksudnya: "Saya dahulu telah menyuruh kamu berpuasa
sebagai perintah wajib puasa Asyura, tetapi kini terserahlah kepada sesiapa
yang suka berpuasa, maka dibolehkan berpuasa dan sesiapa yang tidak sukar boleh
meninggalkannya." Begitulah sabda Rasulullah di mana puasa pada hari
Asyura ini sangat-sangat dituntut. Kalau tidak memberatkan umat baginda, maka
diwajibkan. Oleh karena takut memberatkan umatnya, maka hukumnya adalah sunat.